Thursday, September 30, 2010

Kertas siasatan BPR sahkan Adun Kulim ditawar RM5 juta

KUALA LUMPUR, 29 Sept: Raja Petra Kamarudin melalui blognya Malaysia Today hari ini mendedahkan satu kertas siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan dakwaan Adun Kulim beliau ditawar RM5 juta untuk lompat parti adalah benar.
Dalam postingnya hari ini, Raja Petra menyiarkan 'Laporan Siasatan Awal' BPR (kini SPRM) cawangan Seberang Perai Aduan no 11/2008 yang dibuat oleh YB Lim Soo Nee (gambar), Adun Kulim dari PKR yang dinamakan sebagai A1.

Laporan itu mendedahkan sasaran siasatan mereka adalah bekas Menteri Besar Kedah, Mahazir bin Khalid yang dinamakan sebagai B1 dan dan orang tengah Tan Yak Siew yang dinamakan B2.

Di akhir laporan ini, siasatan itu mengesahkan, pada 9.9.2008 satu perjumpaan telah diadakan di Hotel Sunway, Seberang Jaya, Perai.

"Bahagian Perisikan Ibu Pejabat telah membuat satu rakaman audio dan video di bilik hotel tersebut.

"YB Mahazir Khalid yang datang berjumpa dengan A1 (Lim Soo Nee) dan mengesahkan penawaran wang itu sebanyak RM5 juta dan sekiranya A1 hendak lebih lagi, boleh berbincang dengan Datuk Seri Najib.

"A1 juga dimaklumkan, sekiranya beliau lompat parti ke BN, beliau akan mendapat beberapa projek," tulis laporan itu.

Laporan siasatan yang ditandatangani oleh Mahani binti Din, Penolong Kanan Penguasa, Badan Pencegah Rasuah Cawangan Seberang Perai itu melaporkan, Ibu Pejabat BPR (kini SPRM) akan menguruskan kes ini seterusnya.

Susilawati & Najib Altantuya

video

Munajat: Ulama muda Umno dangkal ilmu

KOTA BHARU, 29 Sept: Pengerusi Misi Munajat Royalti Rakyat Kelantan, Md Zulaimi Kazin menyelar tindakan ulama muda Umno yang mempertikaikan langkah yang diambil oleh 40 ulama bermunajat di Mekah dalam isu tuntutan royalti.
Beliau berkata tindakan yang diambil oleh 40 ulama itu tidak bercanggah dengan syariah, terutama tidak terdapat sebarang larangan nas syarak terhadap tindakan tersebut.
Ini, katanya tidak seperti mana larangan nyata dari nas atas pengharaman judi bola yang dilesenkan oleh Umno tetapi ulama muda mendiamkan diri.
“Golongan ulama Umno ini amat dangkal ilmunya kerana tidak memahami hasrat sebenar misi ini yang dikhususkan kepada tindakan zalim pihak kerajaan pusat yang enggan membayar royalti petroleum kepada Kelantan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, Nabi Muhammad s.a.w. ada menyuruh bermusafir dan menyatakan kelebihan menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, justeru pihaknya akan menghantar 40 orang ulama Kelantan untuk bermunajat di sana.
“Langkah ini diambil agar mereka dapat bertawasul dengan amalan soleh mereka sendiri untuk dimustajabkan doa oleh Allah supaya hak rakyat kelantan dikembalikan,” kata beliau.
Menurut beliau lagi, perbelanjaan yang digunakan adalah secara telus dengan menggunakan sumbangan derma daripada orang ramai dan tidak melibatkan dana kerajaan negeri.
“Saya berharap ulama muda Umno kembali kepada niat asal mereka menyertai Umno seperti yang mereka war-warkan dahulu, iaitu mahu membaiki dan menegur Umno, bukan seperti kandungan artikel tulisan mereka, yang memperlihatkan mereka seperti balaci Umno dalam usaha melawan tindakan yang tidak sealiran dengan mereka,” katanya lagi.
sumber: Harakahdaily

 Jentera p'raya pemuda dilancar di Ijtima' Tarbawi

KUALA LUMPUR, 29 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan melancarkan jentera pilihan raya pemuda peringkat kebangsaan di Ijtima' Tarbawi hujung minggu ini bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas dan pilihan raya Negeri Sarawak.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, kesempatan itu diambil untuk pemuda menyatakan kesediaan mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mengekalkan kemenangan PAS di Dun Galas dan membantu kemenangan Pakatan Rakyat di Sarawak.
"Bersempena dengan ijtima' yang menghimpunkan pemuda di semua peringkat, kita akan adakan pelancaran gerak kerja.
"Kita akan adakan ikrar untuk pejuang untuk seluruh pemuda turun bagi mengekalkan kemenangan PAS di Galas dan membantu Pakatan Rakyat untuk menang di Sarawak," kata Nasrudin ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau turut memberitahu, pemuda juga akan melancarkan kalendar bagi tahun 2011 yang diterbitkan oleh DPPP selain melancarkan laman wen rasmi DPPP versi baru.
"Pemuda juga akan melancarkan takwim tahun 2011 terbitan DPPP yang bercirikan Islam dan akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.
Menyentuh mengenai kehadiran peserta, beliau berkata, setakat ini seramai lima ribu pemuda dan pemudi telah mengesahkan kehadiran mereka ke ijtima' yang bertempat di Masjid Rusila, Marang.
Tambahnya, pendaftaran masih lagi dibuka sehingga ke petang Jumaat, sebelum majlis perasmian pada malamya.
Namun, pendaftaran di saat-saat akhir tidak digalakkan bagi mengelakkan kesulitan bagi pihak jawatankuasa penganjur.
"Kepada yang berminat untuk menyertai dan masih belum mendaftar, saya sarankan segera mendaftar di Sekretariat Pemuda Pusat atau negeri masing bagi memudahkan pihak pengurusan tempat, makanan dan logistik menyediakan kemudahan yang cukup termasuk khemah untuk mereka," pesannya.
Dijangkakan, wakil dari jemaah Ikhwanul Muslimin akan hadir sebagai tetamu undangan.
"Wakil Ikhanul Muslimin sudah memberikan persetujuan awal untuk hadir namun kita masih menunggu pengesahan kehadiran mereka," katanya.
Ijtima' bermula 1 hingga 3 Oktober itu akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS sementara Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merupakan salah seorang pembentang kertas kerja yang telah disesuaikan untuk pemuda dan pemudi.
sumber: Harakahdaily

Al Fatihah : Tuan Guru Pak Teh kembali kerahmatullah.

21 Syawal 1431H.

Pengasas Madrasah Ad Diniah Al Latiffiah atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Pondok Pak Teh, Tuan Guru Dato' Haji Abdul Latif bin Abdul Rahman(Gambar) atau lebih dikenali sebagai Pak Teh telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 1.00 pagi tadi selepas sesak nafas.

Pak Teh mendirikan pusat pengajian ini pada tahun 1967 dan lokasinya adalah berdekatan dengan perkarangan rumahnya. Pusat pengajian ini teletak di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak.

Pondoknya menjadi kontaversi setelah semasa 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak telah meluluskan sebidang tanah untuk membantu pondok sedangkan sekian lama dipohon semasa BN berkuasa sebelumnya tetapi tidak dilulus.

Pak Teh dalam kenangan :-

Pak Teh merupakan anak jati kelahiran Kampong Kuak Hulu, Pengkalan Hulu. Beliau dilahirkan pada tahun 1938. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dalam tahun 1947 hingga 1953 dengan menamatkan pengajian hingga darjah 5. Pada peringkat awal, beliau mula menghafal kitab-kitab agama dengan dibimbing oleh Ustaz Omar Mohd Noh.

Selepas itu beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Arab (sistem pondok) yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa yang terletak di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959. Pak Teh sebenarnya seorang pelajar yang pintar kerana beliau berpeluang melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar tetapi tidak meneruskannya kerana kemiskinan. Kemudian Pak Teh meneruskan pengajian di Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Sekolah ad-Diniah Bakriah, Kelantan selama lebih 9 tahun iaitu dari tahun 1959 hingga 1967.

Beliau sempat berguru dengan beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Haji Mohamad Saman, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Haji Ahmad, Tuan Guru Haji Sulaiman Mohd Rabik, dan juga ulama-ulama terkenal yang bermastautin di Kelantan iaitu Tuan Guru Haji Mustafa, Tuan Guru Haji Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Hashim Haji Abu Bakar.

Beliau telah dapat mengekalkan pengajian secara sistem pondok di mana pengajian ditumpukan dengan mempelajari kitab-kitab Thurath iaitu kitab-kitab tradisi Islam. Beliau adalah pakar rujuk dalam berbagai hal mengenai masalah agama. Mewarisi minat bapanya, Pak Teh juga minat bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya dimana pelbagai jenis tanaman di tanam di pusat pengajian tersebut.

Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, tanam-tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam ialah seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan macam-macam lagi buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.
Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Ad Diniah Al Latiffiah, bilangan murid yang menerima cara pendidikan yang diperkenalkan itu hanyalah seramai tiga orang. Kini setelah madrasah tersebut menjangkaui usia lebih 35 tahun bilangan murid yang belajar di situ melebihi 400 orang secara sepenuh masa.

Pak Teh merupakan ahli jawatankuasa Syariah Negeri Perak sejak dari tahun 1994. Pengetahuannya yang luas khususnya dalam pemakaian kaedah kitab Arab dan cermatnya beliau dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan jawatankuasa Syariah dan majlis fatwa Perak.

Diatas sumbangannya yang besar, Pak Teh telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan DYMM Paduka Sultan Perak ke 76 baru-baru ini. Istiadat pengurniaan tersebut telah berlangsung pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Kebanyakkan pengajian ilmu dimadrasah ini adalah bersumber daripada Kitab-kitab Jawi yang lebih popular dikenali sebagai kitab kuning dan kitab-kitab Arab. Kaedah pengajian di madrasah ini yang berasaskan system pengajian pondok selalunya menggunakan 2 kaedah utama iaitu umumi dan nazomi.Selain itu juga kelas hafalan dipraktikkan secara meluas dalam sistem pengajian pondok. Antara kitab yang digunakan di Pondok Pak Teh ialah Minhajul Abidin(tasawuf), Mughni Muhtaj(feqah), Syuzu(nahu), Hadis Muwatta Imam Malik, Fathul Muin, Fathul Wahhab, Tafsir Nasafi, Ibnu Akil, Syarkawi, Usul Fiqh, Matan Zubad(feqah) dan Matan Majmuk Azhari.

SemugaRohnya ditempatkan bersama roh para Rasul dan Nabi, syuhada dan solihin diatas kegigihannya memperjuanbgkan agama Allah.....Al Fatihah..



sumber: Cinaislam

Sunday, September 26, 2010

Sejarah Palestin dan Israel

 

Tanah Rahmat

Bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi, tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau. Bagi umat Islam, di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan 'Tanah Yang Dijanjikan Tuhan' kepada mereka. Di situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnyaTemple of Solomon, iaitu kuil suci mereka. Atas kedua-dua sebab inilah, tanah tersebut menjadi rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak dari dahulu, hinggalah membawa kepada pertumpahan darah sekarang.

Bagaimana dengan Kristian pula? Kristian juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran Nabi Isa. Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib (mengikut kepercayaan kristian).


Sejarah
 Awal


Sebenarnya sejarah bani Israel wujud sedari zaman Nabi Ibrahim lagi. Namun, kita susuri sedari kependudukan Bani Israel itu di Mesir, sepertimana yang diutuskan Nabi Musa a.s kepada mereka.  Kita tahu melalui al-Quran, bahawa Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke Laut Merah, di mana ketika itu Nabi Musa menggunakan mukjizatnya membelah dan menyeberangi lautan tersebut. Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut. Kita boleh baca sendiri dalam al-Quran, betapa kaum ini semakin lama semakin besar kepala, meminta yang pelbagai daripada Nabi Musa dan sebagainya. Kita juga boleh lihat kisah Talut dan Jalut yang berlaku setelah kewafatan Nabi Musa, sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran melalui surah al-Baqarah.

Setelah Talut menawan kembali tanah Palestin daripada kekuasaan Jalut, tampuk pemerintahan Palestin disambung pula oleh Nabi Daud. Seterusnya disambung oleh Nabi Sulaiman, dengan bala tenteranya dan kegemilangan kerajaannya (termasuk haiwan, jin dan angin). Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di tanah Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin dijarah oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar lalu tersebarlah kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata dunia. Sejak itu, tanah Palestin menjadi milik kerajaan Rom. Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian. Lebih kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja Constantine yang menjadikan Constantinople sebagai pusat pemerintahan, mengalami Kristianisasi. Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom menguasai Palestin.


Kedatangan
 Islam


Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi. Empayar Islam semakin berkembang dan Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka sedari itulah Palestin menjadi milik Islam, sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah. Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan Rom yang telah menjalani Kristianisasi mengalami pelbagai perubahan daripada sudut struktur pemerintahan. Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan gereja.

Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II memberikan ‘fatwa' mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang mendapatkan kembali Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi. Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades). Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.


Menawan
 Semula


Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat. Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi. Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin. Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibu negara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan. Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai. Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin di luar. Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.

Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi. Proses modenisasi semakin berlaku, dan kebergantungan terhadap kuasa barat semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah. Khalifah pada masa tersebut hanyalah pada nama. Empayar Islam semakin lemah, di bawah kekuasaan barat seperti Britain dan Perancis.


Perang
 Dunia Pertama


Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya Perang Dunia Pertama. Perang ini terdiri daripada dua kuasa besar; iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Rusia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary. Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Itali menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.

Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur  diserang dan ditawan oleh Britain. Kerajaan Islam Barat yang menjangkau hingga ke Algeria dan Sudan  manakala negara-negara utara Afrika dikuasai oleh Perancis. Kerajaan Islam juga diserang dari utara oleh Rusia, menyaksikan Rusia menawan kawasan utara kerajaan Islam. Perlu diberi perhatian bahawa pada ketika ini, masih belum wujud negara bangsa dan kerajaan Islam disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.


Perpecahan
 Negara Arab


Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisme di negara-negara Arab. Pejuang kebangsaan/nasionalisme Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal I, berpaling tadah dan memihak kepada Britain. Sejak itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain. Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin. Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan, "Hari ini, Perang Salib sudah berakhir".
Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranyamenjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi. Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 penduduk sebelum itu kepada mencecah setengah juta penduduk, manakala penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.

Wakil daripada Yahudi ketika Deklarasi tersebut merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann. Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan Britain dalam perang tersebut. Weizzman mendesak Setiausaha Luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut. Dek terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju. Pada mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour:

"Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?"

"Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!"

"Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!"

Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin. Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan  Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour. Pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin. British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Bertitik tolak daripada situ wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.


Kejatuhan
 Turki Uthmaniyyah


Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul. Pada tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa tuntutan seperti sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar sekular. Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.

Seorang ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding pihak pakatan ketika itu, "Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan kolonial?"

Lord Curzon menjawab, "Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya - Khalifah dan Islam".

Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan ke atas kabinet Turki ketika itu, lalu merombak parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik lalu merampas tampuk pemerintahan. 3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan. Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, Khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri. Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.


Holo
caust


Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler. Ketika tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang dikenali sebagai Action T4. Pelan ini merencanakan pembunuhan Euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi. Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan hampir seramai 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh. Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.


Penglibatan
 Amerika Syarikat


Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel. Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki. Setelah Holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang ada adalah sedikit, serta mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan. Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry Truman. Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) lalu pemisahan Palestin dideklarasikan. Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB. Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini. Presiden Israel yang pertama ialah Chaim Weizmann.


Palestin
 Sekarang


Sedari peristiwa Holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas dasar terbuka negara tersebut terhadap mereka, serta ramai juga yang pulang ke tanah air di Israel. Yahudi di Amerika diterima dengan tangan terbuka, bantuan dan pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas kasihan akibat Holocaust tersebut. Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika. Amerika, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang didirikan di atas tanah Palestin yang dirampas secara haram.

Sehingga kini, Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Palestin pula berjihad, dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa. Sejak kerajaan khalifah Islam tumbang, tiada sesiapa lagi yang mahu menyokong Palestin. Negara-negara Islam yang lain tunduk takut dan akur kepada Amerika. Sampai bila keadaan ini akan berakhir? Hanya dua; sama ada Palestin akan terus dihapuskan dan Masjidil Aqsa dimusnahkan dalam usaha mereka mencari Temple of Solomon, ataupun tertegaknya kembali kerajaan khalifah Islam yang menyokong perjuangan Palestin.

Di manakah kita? Kita boleh berdiam diri tidak berbuat apa-apa, sekaligus menjadikan kesudahan yang pertama tadi sebagai realiti. Ataupun, kita boleh berusaha melakukan sedaya upaya menyokong perjuangan Palestin, yang membawa kepada kesudahan yang kedua.

Fikir-fikirkan. 




sumber: iLuvislam

Dr M: Nik Aziz halalkan apa sahaja demi dapatkan sokongan


PASIR MAS, 25 Sept — Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh membuat tafsiran baru berkaitan hukum halal dan haram semata-mata demi menjaga hati DAP dan pada masa sama mendapatkan sokongan rakyat.
Bekas perdana menteri itu berkata selain Nik Aziz, pemimpin parti Islam itu sanggup melakukan apa sahaja untuk dapatkan sokongan.
“Ada pemimpin Melayu cakap mereka bukan orang Melayu tapi orang Islam. Itu tidak mengapa tetapi yang jadi persoalan kenapa hal berkaitan Islam diketepikan.
“Kalau mengakui diri adalah Islam jadi berlagaklah seperti orang Islam tapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.
“Nik Aziz boleh halalkan segala-galanya, malah beliau juga boleh buat tafsiran baru berkaitan hukum halal dan haram,” katanya ketika berucap pada program Perhimpunan Melayu Perkasa Kelantan yang dihadiri kira-kira 5,000 orang di pekarangan Stesen Keretapi Pasir Mas.
Buat pertama kali Dr Mahathir (gambar) datang ke Kelantan hari ini setelah insiden beliau disembur cecair di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, empat tahun lalu.
Dr Mahathir yang diiringi oleh isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali datang ke negeri ini untuk menghadiri perhimpunan Perkasa.
Beliau tiba di majlis itu dengan memakai kain lilit di kepala bewarna kuning dengan corak bunga padi serta mengenakan selempang merah di bahunya.
Kali terakhir Dr Mahathir datang ke Kelantan ialah pada 2006.
Pada lawatan itu, Dr Mahathir telah disembur dengan cecair yang merbahaya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 11 pagi, 28 Julai 2006.
“Pemimpin PAS sudah ketepikan agama, malah bangsa sendiri juga dilupakan.
“Sebagai contoh isu ternak babi, Nik Aziz cakap tidak ada masalah kalau nak ternak babi kerana dalam Islam tidak larang, yang haram adalah makan babi.
“Semua yang dilakukan ini semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat sahaja,” kata Dr Mahathir yang juga penaung Perkasa.
Beliau juga memberikan amaran kepada rakyat terutamanya di Kelantan supaya mengenali latar belakang pemimpin mereka sebelum menyesal.
“Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang membela dan mengikut kehendak rakyat bukan pemimpin yang gila nak jadi perdana menteri.
“Pemimpin-pemimpin yang gilakan kuasa ini boleh menyebabkan orang Melayu terpecah kepada 10 puak,” katanya.
Bekas presiden Umno itu juga mendakwa PAS menyertai PR adalah semata-mata untuk menang dalam pilihan raya.
“Parti yang berada dalam PR bergabung hanya untuk menang pilihan raya dan dapatkan kuasa.
“Semua orang tahu dasar setiap parti itu (PAS, PKR dan DAP) berbeza. Dasar perjuangan mereka tidak sama, jadi rakyat perlu tahu jenis pemimpin mereka,” katanya.
Dr Mahathir juga menjelaskan matlamat perjuangan PKR adalah bukan untuk rakyat tetapi adalah memastikan pemimpin mereka menjadi perdana menteri.
“Objektif PKR adalah nak pemimpin mereka jadi perdana menteri bukan untuk rakyat dan memastikan hak rakyat stabil.
“Apa yang penting bagi mereka adalah pemimpin mereka boleh jadi perdana menteri dan mereka sanggup lakukan apa sahaja bagi memastikan hasrat itu tercapai,” katanya.
Dalam kenyataan terbaru minggu ini, Dr Mahathir berkata, orang Melayu akan kehilangan kuasa jika PR mengambil alih pemerintahan negara ini.
Beliau mendakwa apa yang dinyatakan itu bukan satu igauan tetapi telah menjadi kenyataan kerana perkara itu sudah pun berlaku di negeri diterajui PR walaupun ketua pentadbiran di negeri itu di ketuai orang Melayu.
Sebelum ini Dr Mahathir pernah mengatakan bahawa orang Melayu akan menjadi kaum minoriti dari segi politik jika PR berkuasa.
Beliau juga menasihati pemimpin-pemimpin Umno supaya tidak mengetepikan individu berkebolehan yang dapat menyumbang kepada kekuatan parti hanya semata-mata takut kedudukan sendiri tercabar.
“Ini masalah Umno, kerana takut kedudukan sendiri dicabar mereka yang berkebolehan diketepikan sebab itu ramai yang masuk PAS.
“Jadi Umno perlu ubah semua ini demi kebaikan parti,” katanya.

sumber: Malaysian Insider

10 Hal Yang Mendatangkan Cinta Allah



Saudaraku, sungguh setiap orang pasti ingin mendapatkan cinta Allah. Namunbagaimanakah cara untuk mendapatkan cinta tersebut? Ibnul Qayyim Rahimahullahmenyebutkan beberapa hal untuk menerangkan maksud perkara tersebut dalam kitab beliau Madarijus Salikin , tahap-tahap menuju wahana cinta kepada Allah adalah seperti berikut:


1) Membaca al-Qur’an dengan merenung dan memahami kandungan maknanya sesuai dengan maksudnya yang benar.


Itu tidak lain adalah renungan seorang hamba Allah yang hafal dan mampu menjelaskan al-Qur’an agar difahami maksudnya sesuai dengan kehendak Allah SWT. Al-Qur’an merupakan kemuliaan bagi manusia yang tidak boleh ditandingi dengan kemuliaan apapun. Ibnu Sholah mengatakan 


“Membaca Al-Qur’an merupakan kemuliaan, dengan kemuliaan itu Allah ingin memuliakan manusia di atas makhluk lainnya. Bahkan malaikat pun tidak pernah diberi kemuliaan seperti itu, malah mereka selalu berusaha mendengarkannya dari manusia”. 


Perkara ini boleh dilakukan umpama seseorang memahami sebuah buku iaitu dia menghafal dan harus mendapat penjelasan terhadap isi buku tersebut. Ini semua dilakukan untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh si penulis buku. (Maka begitu pula yang dapat dilakukan terhadap Al Qur’an)


2)Mendekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan ibadah-ibadah sunat, setelah mengerjakan ibadah-ibadah wajib.
Orang yang menunaikan ibadah-ibadah fardhu dengan sempurna mereka itu adalah yang mencintai Allah. Sementara orang yang menunaikannya kemudian menambahnya dengan ibadah-ibadah sunat, mereka itu adalah orang yang dicintai Allah. Ibadah-ibadah sunnah untuk mendekatkan diri kepada Allah, diantaranya adalah solat-solat sunat, puasa-puasa sunat, sedekah sunat dan amalan-amalan sunat dalam haji dan umrah.

3)T
erus-menerus mengingat Allah (zikir) dalam setiap keadaan, baik dengan hati dan lisan atau dengan amalan dan keadaan dirinya.
Kadar kecintaan seseorang terhadap Allah bergantung kepada kadar zikirnya kepada-Nya. Zikir kepada Allah merupakan syiar bagi mereka yang mencintai Allah dan orang yang dicintai Allah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Sesungguhnya Allah aza wajalla berfirman :”Aku bersama hambaKu selama ia mengingatKu dan kedua bibirnya bergerak (untuk berzikir) kepadaKu”.
Ingatlah, kecintaan pada Allah akan diperoleh sekadar dengan keadaan zikir kepada-Nya.

4)Cinta kepada Allah melebihi cinta kepada diri sendiri walaupun dikuasai hawa nafsunya.
Melebihkan cinta kepada Allah daripada cinta kepada diri sendiri, meskipun dibayangi oleh hawa nafsu yang selalu mengajak lebih mencintai diri sendiri. Ertinya ia rela mencintai Allah meskipun berisiko tidak dicintai oleh makhluk dan harus menempuh berbagai kesulitan. Inilah darjat para Nabi, diatas itu darjat para Rasul dan diatasnya lagi darjat para rasul Ulul Azmi, lalu yang paling tinggi adalah darjat Rasulullah Muhammad s.a.w. sebab baginda mampu melawan kehendak dunia seisinya demi cintanya kepada Allah.

5)Merenungi, memperhatikan dan mengenal kebesaran nama dan sifat Allah.
Begitu pula hatinya selalu berusaha memikirkan nama dan sifat Allah tersebut berulang kali. Barangsiapa mengenal Allah dengan benar melalui nama, sifat dan perbuatan-Nya, maka dia pasti mencintai Allah. Oleh karena itu, mu’athilah, fir’auniyah, jahmiyah (yang kesemuanya keliru dalam memahami nama dan sifat Allah), jalan mereka dalam mengenal Allah telah terputus (kerana mereka menolak nama dan sifat Allah tersebut).

6)Memerhatikan kebaikan, nikmat dan kurnia Allah yang telah Dia berikan kepada kita, baik nikmat lahir mahupun batin akan mengantarkan kita kepada cinta hakiki kepada-Nya.
Tidak ada pemberi nikmat dan kebaikan yang hakiki selain Allah. Oleh sebab itu, tidak ada satu pun kekasih yang hakiki bagi seorang hamba yang mampu melihat dengan mata batinnya, kecuali Allah SWT. Sudah menjadi sifat manusia, ia akan mencintai orang baik, lembut dan suka menolongnya dan bahkan tidak mustahil ia akan menjadikannya sebagai kekasih. Siapa yang memberi kita semua nikmat ini? Dengan menghayati kebaikan dan kebesaran Allah secara lahir dan batin, akan mengantarkan kepada rasa cinta yang mendalam kepadaNya.
7) Menghadirkan hati secara keseluruhan (total) semasa melakukan ketaatan kepada Allah dengan merenungkan makna yang terkandung di dalamnya inilah yang disebut dengan khusyu’.
Hati yang khusyu’ tidak hanya dalam melakukan solat tetapi dalam semua aspek kehidupan ini, akan mengantarkan kepada cinta Allah yang hakiki.

8)Menyendiri dengan Allah di saat Allah turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang terakhir.
Di saat itulah Allah SWT turun ke dunia dan di saat itulah saat yang paling berharga bagi seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan beribadah dan bermunajat kepada-Nya serta membaca kalam-Nya (Al Qur’an) dan solat malam agar mendapatkan cinta Allah. Kemudian mengakhirinya dengan istighfar dan taubat kepada-Nya.


9)Bergaul bersama orang-orang yang mencintai Allah dan bersama para siddiqin. 
Kemudian memetik perkataan mereka yang seperti buah yang begitu nikmat. Kemudian dia pun tidaklah mengeluarkan kata-kata kecuali apabila jelas maslahatnya dan diketahui bahawa dengan perkataan tersebut akan menambah kemanfaatan baginya dan juga bagi orang lain.


10)Menjauhi segala sebab yang dapat menghalang komunikasi antara dirinya dan Allah SWT.
Semoga kita sentiasa mendapatkan cinta Allah, itulah yang seharusnya dicari setiap hamba dalam setiap degup jantung dan setiap nafasnya.
Ibnul Qayyim mengatakan bahawa "kunci untuk mendapatkan itu semua adalah dengan mempersiapkan jiwa (hati) dan membuka mata hati."




sumber: iLuvislam

Understanding Islam


sumber: iLuvislam

Rumah Terbuka PAS Perak

Rumah Terbuka Pakatan Rakyat Perak dan Rumah Terbuka PAS Perak 


Tempat : Hadapan Pejabat PR Perak/Pej. PAS Perak, Medan Istana Ipoh.
Tarikh: 26/9/2010
Jam : 8.00 malam



 Ucapan dari pimpinan Pakatan Rakyat Negeri iaitu:-

1. Ust. Abu bakar Husain- Pesuruhjaya PAS Perak
2.Dato Seri Muhammad Nizar- AJK PAS Pusat
3.Hj. Mustafa kamil Ayob - Pengerusi PKR Perak
4. Dato' Ngeh Khoo Ham - Pengerusi DAP Perak.

Umno patut malu, mereka lulus lesen judi

KEPALA BATAS, 25 Sept: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan dakwaan yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam yang mendakwa Kerajaan Negeri menggunakan wang dari sumber judi Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk program miskin tegar.
Semalam, Reezal dalam sidang media beliau di Kepala Batas telah mendakwa kerajaan negeri memperolehi wang dari sumber judi sebanyak RM500 ribu dari kelab tersebut sebagai sumber untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.
Guan Eng berkata, sejumlah 90 peratus dari mereka yang tergolong dalam miskin tegar adalah masyarakat Melayu.
Namun begitu, katanya harus diketahui bahawa baki sebanyak 10 peratus lagi adalah di kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukannya beragama Islam.
"Jumlah yang kita gunakan untuk masyarakat bukan Islam tidak harus dipertikaikan. Manakala bagi masyarakat Islam kita sedia maklum apa yang baik untuk mereka dan apa pula yang sebaliknya.
"Oleh kerana itu, maka usaha Umno memburukkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) ini sebenarnya tidak akan menjadi nyata kerana rakyat sudah tahu dan faham mengenai usaha mereka untuk menjatuhkan serta mencalarkan imej kerajaan negeri," katanya.
Menurut beliau lagi, jika sebelum ini Umno melalui Reezal juga telah menuduh kerajaan negeri menggunakan wang dari sumber judi untuk pemberian RM100 kepada warga emas dan tidak menjadi kenyataan setelah dinafikan dengan fakta, kini mereka beralih pula kepada wang kepada penerima miskin tegar.
Kata Lim lagi, adalah tidak munasabah untuk Kerajaan Negeri memberi sumbangan dari sumber judi kepada masyarakat Islam di negeri ini.
"Kita juga tahu apa yang boleh dan tidak boleh untuk diberikan sebagai sumbangan kepada masyarakat Islam. Oleh kerana itu janganlah Umno menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka walaupun hendak mencari semula pengaruh yang hilang.
"Umno sepatutnya malu dengan kenyataan ini kerana merekalah sebenarnya yang menguasai kepimpinan Kerajaan Pusat bersama Barisan Nasional (BN) yang meluluskan kesemua lesen judi yang ada di seluruh negara ini.
"Bak kata pepatah menepuk air ke dulang terkena muka sendiri. Inilah umpama yang patut saya nyatakan kepada Umno dan BN yang cuba mencari kesalahan PR sejak kita mula memenangi pilihan raya 2008 yang lalu sehinggalah ke hari ini," tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program 'Pembersihan Pantai Antarabangsa' di Pantai Robina, Teluk Air Tawar, Butterworth pagi tadi. 

sumber: Harakahdaily

Saturday, September 25, 2010

Salam Idulfitri: Kekalkan Hidup Beragama

Firman Allah SWT:
 
Bermaksud: 
“(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Al-Quran, surah Al-Fath 48:4)
Segala kebesaran milik Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berabdi dengan beribadat di sepanjang bulan Ramadhan dan seterusnya menyambut Hari Raya Idulfitri, 1 Syawal  1431H ini. Sesungguhnya kesempatan setiap Ramadhan disediakan oleh Allah SWT wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan amal ibadah demi meningkatkan ketaqwaan selari dengan tujuan berpuasa.
Asas kehidupan manusia yang beriman dan bertaqwa sudah pasti berpandukan agama. Ini kerana ajaran agama menyediakan perlembagaan hidup yang sebenar. Maka kehidupan orang yang taqwa sudah pasti hidupnya selari dengan agama, yakni perlembagaan hidup yang berteraskan agama. Justeru kehidupan seorang yang beragama adalah terlalu jauh bezanya dengan kehidupan berpandukan perlembagaan buatan (digubal) manusia. Ini kerana tuan punya dunia ini telah menetapkan adanya hari pembalasan dan ini wajib diulang-ulang berbelas-belas kali setiap hari di dalam solat (maliki yaumid din). Oleh yang demikian, apalah sangat pihak yang menggubal perlembagaan, apakah mereka dapat menjamin bahawa roh perlembagaan yang digubal manusia itu dapat memuaskan hati pihak hakim di akhirat kelak iaitu Allah SWT? Tanpa ada sebarang keraguan di mahkamah Allah (without any shadow of doubt). Bolehkah perlembagaan buatan itu dapat menyelamatkan seseorang manusia itu daripada neraka Allah SWT?
Perlembagaan sebenar (alsirat al-mustaqim) ialah al-Quran yang kita tadarus, yang kita baca di dalam solat, di pejabat, di dalam perjalanan ke pasar atau ke mana-mana. Ia mengandungi nur iaitu cahaya.
Cahaya itu bukan cahaya matahari, bulan, bintang tetapi cahaya yang menyuluhi qalbu insan, bagi menentukan halal dan haram, dosa pahala, taat maksiat dan syurga neraka. Tanpa adanya cahaya ini manusia akan meraba-raba dalam kegelapan. Itulah gunanya al-Quran, iaitu untuk menimbal kelemahan-kelemahan manusia. 
Sebab itu di dalam saat manusia berhibur pada hari ini, galak dengan makan minum, pakaian yang baru, manusia tetap disuruh, melaungkan Allahuakbar sekuat-kuatnya, di merata-rata tempat, bukan sahaja di masjid dan di surau. Ini kerana jika Allahuakbar adalah Akbar, terbesar, terpenting, maka segala urusan hidup lain menjadi kecil, boleh diketepikan bila bertembung dengan kehendak Allah SWT. Di negara kita, umat Islam masih agak terikat dengan budaya bertakbir di masjid dan di surau sahaja. Saya mencadangkan agar kita mempelopori suasana yang baru, berteraskan sunnah, iaitu kita bertakbir di mana-mana tempat (di mana yang sesuai).
InsyaAllah jika semangat takbir ini dihayati sepenuhnya, banyak permasalahan yang berlaku di dalam negara dapat diselesaikan. Masyarakat dapat hidup aman dan damai tanpa sebarang pertembungan yang melibatkan keturunan dan kebudayaan. Kita sudah tentu mengimpikan masyakarat di negara kita khususnya dapat hidup sejahtera tanpa sebarang gangguan dan ancaman yang terhasil dari perbezaan kaum dan keturunan. Melayu misalnya dapat menerima menantu dari keturunan Cina, India tidak merasa kekok untuk bemertuakan seorang Melayu bahkan Melayu dengan senang hati berjemaah dan berimamkan seorang Cina atau India yang Muslim. Ini boleh terhasil apabila semangat takbir dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meniti di bibir semata-mata.
Alhamdulillah, ini dapat kita saksikan sepanjang Ramadhan khususnya apabila masjid-masjid dan madrasah-madrasah dipenuhi dengan kaum Muslimin. Tanpa mengira bangsa, semua kita melafazkan amiin apabila imam menghabiskan bacaan al-Fatihah. Kita tidak merasa kekok apabila bahu kita bersentuhan dengan saudara seagama dari kaum lain ketika mengerjakan solat. Kita tidak berasa janggal untuk menghulurkan salam kepada rakan sebelah yang berbeza keturunan. Persoalannya, kenapakah perasaan ini tidak muncul di luar masjid dan madrasah? Jawapannya, kerana kebesaran Allah SWT hanya diikrarkan di dalam masjid sahaja dan tidak dibawa keluar sebagai asas kehidupan. 
Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar hari raya yang disambut pada tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya berjaya menjadi alat penyatuan di antara kaum yang berbeza dengan berteraskan kalimah takbir. Laungan takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan-golongan yang tertentu. Bahkan masyarakat non muslim sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan. InsyaAllah, jika ini dihayati, matlamat untuk menyatu padukan masyarakat Malaysia akan tercapai. 
Pada kesempatan ini juga, tidak lupa saya berpesan agar anak-anak Kelantan di perantauan dapat berhati-hati semasa pulang berhari raya, terutama di sepanjang perjalanan. Perlulah diingat bahawa kepulangan kita ditunggu-tunggu oleh orang yang tersayang. Janganlah pula kepulangan di hari raya disambut dengan kedukaan. 
Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar setiap amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan khususnya diterima sebagai amalan yang soleh dan akan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.
Salam Idulfitri. Minal ’aidin wal faizin. 

Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails